Monday, 20 January 2014

ADUN Titi Serong ketuai misi bantuan banjir


PARIT BUNTAR : PAS Kawasan Parit Buntar turut mengerakkan misi membantu mangsa banjir di Kuantan dan Kemaman yang disifatkan paling buruk dalam sejarah kedua bandar itu. 
 
Seramai tujuh anggota Unit Amal Parit Buntar terlibat dalam misi berkenaan bagi menjalankan operasi membersih rumah mangsa banjir.
 
Penyelaras Jabatan Amal Parit Buntar, Zainuddin Osman berkata, misi berkenaan diketuai ADUN Titi Serong ,Ustaz Abu Bakar Hussain telah bergerak ke Kuantan dan Kemaman membawa barangan dan wang tunai yang disumbang oleh orang ramai di Parit Buntar.
 
“Rombongan kami bergerak pada 16 Disember ke Kuantan untuk menyampaikan bantuan, seterusnya pada 17 Disember bergerak ke Kemaman
 
“ Selain menyampaikan sumbangan di Kemaman, kami bergabung dengan Unit Amal yang datang dari seluruh Malaysia membersihkan rumah mangsa banjir di sana” katanya
 
Menurutnya, Unit Amal Parit Buntar membawa dua unit mesin pam penyembur air (water jet) bagi memudahkan usaha membersih lumpur dari rumah mangsa banjir.
 
“ Selama dua hari berada di Kemaman, beberapa buah rumah telah dibersihkan di Taman Haji Wan Ngah dan Banggol Kiri .
 
“ Kami mendapat kerjasama yang baik dari Jabatan Amal Kawasan Kemaman dan penduduk tempatan yang terlibat” katanya
 
Sementara itu, ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di Parit Buntar yang memberi sumbangan dalam bentuk barangan dan wang tunai kepada mangsa banjir di Kuantan dan Kemaman
 
“ DHPP Parit Buntar sahaja berjaya mengutip sejumlah RM 2000.00 dalam majlis makan malam yang mereka anjurkan.
“ Ramai lagi penyumbang lain yang bersimpati dengan nasib mangsa banjir telah menyampaikan sumbangan melalui PAS Kawasan Parit Buntar “ katanya
 
Ustaz Abu Bakar berkata, misi bantuan pertama PAS Kawasan Parit Buntar sebenarnya telah disampaikan melalui rombongan yang diketuai Ahli Parlimen Parit Buntar Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa.
 
“ Selepas rombongan Dr Mujahid pulang, kami pula bergerak ke Kuantan dan Kemaman bagi menyatakan simpati PAS Kawasan Parit Buntar dengan nasib yang menimpa mangsa-mangsa di kawasan tersebut walaupun dipisahkan dengan sempadan negeri berbeza.

“Harapan saya agar misi kami melalui sumbangan barangan, wang tunai dan bantuan membersihkan rumah sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di kedua-dua lokasi ini” katanya 

 
Turut serta bersama misi bantuan banjir PAS Kawasan Parit Buntar ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar Haji Harun Hashim.
 
Sekitar misi bantuan ke Pantai Timur 
 
 
 

0 comments:

Post a Comment