PARIT BUNTAR : Lebih 80 hektar sawah di kawasan Bagan Tiang, di
sini, musnah akibat serangan bena perang menyebabkan petani mengalami
kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta.
Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Tiang, Zulkhefly
Asmawi, 54, berkata, ancaman serangga perosak itu bermula sejak tiga
minggu lalu apabila sebahagian besar sawah yang diusahakan lebih 80
petani di Kedai Empat dan Parit 310 musnah.
Menurutnya, serangan bena perang pada musim ini antara yang paling
teruk dialami petani di Kerian dan pihaknya dimaklumkan lebih 200 hektar
sawah seluruh daerah terjejas.
“Sebahagian besar petani tidak menyedari ancaman itu di peringkat awal
memandangkan kerana serangga berkenaan mula menyerang padi berusia 70
hingga 85 hari.
“Kemusnahan padi memberi impak kepada petani memandangkan kami berhutang
dengan pengilang untuk dijadikan modal permulaan," katanya selepas
mengetuai lebih 40 petani meninjau di sawah di sekitar kawasan Kedai
Empat dan Parit 310, semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan
Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain. Kata Zulkhefly, berdasarkan
pengiraan, kadar kerugian dialami petani dianggarkan berjumlah RM9,000
hingga RM10,000 sehektar.
Dia berharap Jabatan Pertanian serta Kawasan Pembangunan Pertanian
Bersepadu (IADA) Kerian dapat mencari penyelesaian terbaik untuk
membantu petani.
Bekalan racun tak cukup AHLI Jemaah Pengarah PPK Bagan Tiang, Abdul
Rahman Abdul Wahab, berkata, ancaman serangan bena perang menjadi serius
apabila racun khas membasmi serangga itu yang dibekalkan Jabatan
Pertanian tidak mencukupi.
Jelasnya, sehingga kini, pihak jabatan dan IADA Kerian hanya mampu
membekalkan tiga kotak racun kepada setiap petani tanpa mengira jumlah
keluasan sawah yang dimiliki.
"Keadaan itu meresahkan petani kerana jumlah agihan hanya cukup untuk kegunaan 0.4 hektar sawah sahaja.
“Lebih memburukkan keadaan, bekalan racun turut habis dijual di kedai
sekitar daerah ini berikutan permintaan tinggi disebabkan ancaman
serangan bena perang," katanya.
Abdul Rahman menggesa Jabatan Pertanian dan IADA Kerian mempercepatkan
usaha mendapatkan bekalan racun itu dengan amaun mencukupi bagi mengawal
serangan bena perang.
Seorang pesawah dari Kedai Empat, Mat Daud Juniad, 59, berkata,
persiapan persekolahan anaknya tidak dapat disediakan kerana tanaman
padinya yang hampir dituai rosak akibat diserang bena perang.
Menurutnya, dia mengusahakan kira-kira 1.5 hektar sawah dan hampir keseluruhan musnah menyebabkan pendapatan merosot teruk.
“Serangan itu terlalu cepat dan hampir keseluruhan sawah saya musnah menyebabkan saya kerugian hampir RM10,000,” katanya.
Sementara itu, Dr Mujahid ketika ditemui menggesa Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani mempertimbangkan pemberian pampasan kepada
petani yang terlibat bagi meringankan beban mereka.
Menurutnya, ancaman serangan bena perang itu harus ditangani pihak kementerian secara bijaksana.
“Saya juga merayu pihak kementerian untuk mempertimbangkan penggunaan racun lain bagi memenuhi keperluan petani,” katanya.
Serangan masih terkawal
PENGARAH IADA Kerian, Zahimi Hassan ketika dihubungi menegaskan ancaman
serangan bena perang di daerah Kerian masih terkawal dan belum mencapai
tahap membimbangkan apabila 331 hektar sawah padi diusahakan 326 petani
terlibat.
Menurutnya, IADA Kerian bersama Jabatan Pertanian sudah menubuhkan
bilik operasi bagi membendung serangan itu daripada merebak ke Kerian
Darat sejak dua minggu lalu kerana, setakat ini tertumpu di Kerian Laut.
“Pihak bilik operasi mengenal pasti lokasi sawah di Bagan Tiang dan
Tanjung Piandang sebagai kawasan paling teruk terjejas dan kami turut
mewujudkan zon penampan (buffer zone) di Kuala Kurau bagi mengelakkan
serangan itu merebak ke kawasan Kerian Darat.
“Sebelum ini, ancaman serangan bena perang di Kerian paling teruk
berlaku pada 2009 apabila sawah seluas lebih 600 hektar terjejas, jadi,
kami mempertingkatkan penyediaan bekalan stok racun untuk kegunaan 600
hektar sebagai persediaan awal,” katanya.
Zahimi turut menegaskan cadangan pemberian pampasan kepada petani tidak
pernah timbul memandangkan serangan bena perang tidak dianggap sebagai
bencana alam.SH
Thursday, 31 January 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment