Saturday, 18 January 2014

6 bulan dilepasi, Ustaz Abu Bakar disenangi warga Titi Serong


PARIT BUNTAR :  RENCANA - Ustaz Abu Bakar Hussain sudah hampir tujuh bulan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong. 
 

Beliau berhadapan dengan jadual yang ketat menghadiri beberapa kali sidang DUN, memenuhi tuntutan parti sebagai Pesuruhjaya PAS Perak bergerak ke seluruh Perak bagi melaksanakan amanah memperkasakan PAS Perak. 
 

Keputusan PAS Pusat tidak melantik beliau sebagai sebagai Pesuruhjaya PAS Perak bagi sesi 2013-2015 memberi kelegaan dan ruang masa yang lebih kepada beliau mendampingi rakyat dalam DUN Titi Serong.
 

Dalam kesibukan sebelum ini, beliau tidak sesekali melupakan tanggungjawabnya kepada rakyat yang diwakilinya. 

Selama enam bulan pertama ini, disamping cuba menyelesaikan permasalahan rakyat yang ke pejabatnya. Ustaz Abu Bakar bersama pembantunya telah melaksanakan program-program kebajikan kepada rakyat selaras dengan manifesto Negara Berkebajikan. 
 
ADUN Titi Serong juga tidak hanya menunggu di pejabat untuk mendengar masalah rakyat. Beliau akan turun sendiri setiap kali mendengar masalah yang dihadapi oleh penduduk dalam DUN yang diwakilinya. 


Misalnya, pada 10 Disember lepas, apabila mengetahui berita kehilangan seorang penduduk di Parit Tok Ngah beliau terus mengunjungi rumah penduduk berkenaan bagi mendengar sendiri berita kehilangan ini dari keluarga penduduk terbabit.
 

Sungguhpun dinafikan peruntukan oleh kerajaan pusat yang diterajui BN, beliau tetap berjaya meneruskan agenda kebajikannya di Parit Buntar. Antara program kebajikan yang berjaya dilaksanakan ialah bantuan kepada golongan kurang berkemampuan, bantuan kesihatan kepada Orang Kurang Upaya, bantuan kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim serta bantuan bencana.


Misalnya, pada 2 Disember lepas, beliau meluangkan masa menziarahi dan memberi bantuan kepada mangsa sebuah rumah terbakar di Sungai Betul. ADUN Titi Serong turut mengambil kesempatan untuk menziarahi beberapa rumah penduduk kampung yang sakit dan uzur di Sungai Betul.
 

Walaupun bantuan yang disumbangkan kecil, namun mampu membantu meringan kesusahan penerima sumbangan ini. Elaun sebagai ADUN sebenarnya tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan membayar elaun pembantu-pembantu dan permohonan sumbangan yang tidak henti-henti datang ke pejabatnya. 


Justeru, sebelum Ramadhan tahun ini beliau dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dato’ Dr. Mujahid Yusuf Rawa sanggup turun ke beberapa masjid dan surau bagi melancarkan dana Ramadhan bagi membantu golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal dan anak-anak yatim semasa bulan Ramadhan. 


Hasil usaha mengumpul dana ADUN Titi Serong bersama Ahli Parlimen Parit Buntar dan PAS Kawasan Parit Buntar, hampir RM 90 ribu dana telah dikumpul dan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan pada Ramadhan yang lepas.
 

Sebagai seorang yang berkelulusan agama, menjadi tanggungjawab kepada beliau untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam di Parit Buntar. 


Justeru, beliau telah menjelajahi hampir semua masjid dan surau dalam DUN Titi Serong. Disamping menjalinkan hubungan mesra dengan jamaah masjid dan surau, beliau turut mengajar ilmu-ilmu agama melalui kuliah yang disampaikan.
 

Setiap malam jika berada di Parit Buntar, Ustaz Abu Bakar akan solat berjamaah di masjid dan surau di Parit Buntar terutama solat waktu Maghrib, Isyak dan Subuh.
 

Perwatakan Ustaz Abu Bakar yang alim dan warak menjadikan beliau dihormati dan sentiasa diminta memimpin majlis-majlis agama seperti menjadi imam, memimpin bacaan doa dan tahlil serta mendapat penghormatan mentahnik bayi dan menyembelih lembu korban. 


Hubungan rapat Ustaz Abu Bakar dengan DHPP Parit Buntar telah membantu beliau mendekati dan memahami kehendak masyarakat bukan Melayu di Parit Buntar. Sebelum perayaan Deepavali tahun ini, Ustaz Abu Bakar  telah menziarahi 50 rumah penduduk India yang susah untuk menyampaikan sumbangan.
 

Beliau turut memberi sokongan dan motivasi kepada DHPP Parit Buntar untuk bergerak sendiri mengadakan program. Pengerusi DHPP Parit Buntar , Ricky Tan mengakui Ustaz Abu Bakar banyak memberi sokongan kepada DHPP Parit Buntar termasuk semasa DHPP Parit Buntar menganjurkan program Makan Malam Perpaduan pada 10 Disember lepas.
 

Seperkara yang perlu diketahui, keberadaan Ustaz Abu Bakar dalam Sidang DUN Perak telah dimanfaatkan sebaiknya terutama dalam sesi perbahasan. Antara perkara yang disentuh dalam perbahasan dan soalan oleh ADUN Titi Serong serta mendapat perhatian Kerajaan Negeri adalah mengenai tuntutan elaun tambahan kepada guru Kafa dan pemberian elaun kepada guru Kafa yang cuti bersalin.
 

Semasa menjawab soalan ADUN Titi Serong , Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Nizar Zakaria menyatakan Guru Kafa menerima elaun sebanyak RM800 sebulan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kerajaan negeri akan memberi elaun tambahan kepada guru Kafa sebanyak RM200.

Exco Perak itu juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memberi elaun sebanyak RM200 kepada guru Kafa wanita yang cuti bersalin selama dua bulan .
 

Selama enam bulan ini kerjasama Ustaz Abu Bakar dengan PAS Kawasan Parit Buntar amat baik terutama Lujnah Kebajikan dan DHPP Parit Buntar yang sentiasa membantu dan memberi kerjasama. Tambahan pula tiga orang pembantunya adalah dikalangan AJK PAS Kawasan dan Dewan Pemuda.
 

ADUN Titi Serong ini juga sentiasa cuba menjalinkan kerjasama yang baik dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan. Banyak juga masalah rakyat yang diadukan melalui Pusat Khidmat DUN Titi Serong telah diselesaikan jabatan dan agensi terbabit.
 

Penduduk di DUN Titi Serong diharap dapat memahami kesibukan Ustaz Abu Bakar sehingga menyebabkan beliau tidak dapat memenuhi semua jemputan kenduri kahwin dan menziarahi kematian yang berlaku di Parit Buntar. 


Beliau tidak akan menghampakan jemputan ini jika berada di Parit Buntar. Namun jika jemputan atau kematian ini berlaku semasa beliau berada di luar Parit Buntar contohnya menghadiri sidang DUN, pembantunya akan pergi mewakili beliau. 


Selepas tidak memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar pasti akan menggunakan banyak masa untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah rakyat. 


Beliau juga akan mempunyai mempunyai banyak masa memenuhi jemputan penduduk menghadiri jenduri kahwin, majlis keraian dan menziarahi kematian. 

Menjelang Januari sesi persekolahan, Ustaz Abu Bakar ada tanggungjawab yang menanti. Dana untuk bantuan persekolahan kepada pelajar yang miskin dan anak yatim perlu dicari. Semoga ADUN Titi Serong ini terus berbakti kepada pengundi yang diwakili.
 
Sekitar khidmat Ustaz Abu Bakar Hussain di DUN Titi Serong
 
Ust. Abu Bakar serius mendengar masalah rakyat
Ust. Abu Bakar menyampaikan Kuliah Dhuha di rumah seorang penduduk di Batu 4 Jalan Sempadan
Ust. Abu Bakar antara terawal ke lokasi kebakaran kilang di Sungai Labu
Ust. Abu Bakar menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit di Parit Haji Awi
Ust. Abu Bakar menyampaikan sumbangan kerusi roda di Parit Tok Ngah
Ust. Abu Bakar menyumbang bola raga kepada pemuda di Parit Tok Ngah
Ust. Abu Bakar sedang menyampaikan sumbangan kepada masjid sempena Ramadhan
Ust. Abu Bakar sedang menyampaikan sumbangan kepada anak yatim sempena Ramadhan
Ust. Abu Bakar mengacau bubur Asyura bersama penduduk
Ust. Abu Bakar merasmikan program Sunaton dalam DUN Titi Serong
Ust Abu Bakar semasa menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan anjuran DHPP Parit Buntar
Ust. Abu Bakar sedang mentahnik seorang bayi di Sungai Labu
Ust. Abu Bakar memimpin majlis tahlil di rumah seorang penduduk di Parit Haji Tahir
Ust Abu Bakar sedang menyembelih seekor lembu korban

0 comments:

Post a Comment