Friday, 1 August 2014

Iftar perdana rai anak yatim


 
PARIT BUNTAR : Seramai 250 anak yatim diraikan dalam satu majlis iftar perdana anjuran PAS Kawasan Parit Buntar dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar, DUN Titi Serong dan DUN Kuala Kurau. 
 
Anak-anak yatim dari seluruh Parit Buntar ini dilihat gembira kerana berkesempatan menikmati Syawal dengan lebih meriah.
 
Pengarah program, Khairulzami Muhamad berkata, turut merasai kegembiraan diraikan ialah guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), aktivis Dewan Himpunan Penyokong PAS Parit Buntar (DHPP), murabitun dan wartawan tempatan.
 
“ Kedatangan Syawal tahun ini pasti disambut ceria anak yatim yang menerima sumbangan berupa barangan sekolah dan duit raya, selain menerima sumbangan makanan segera ayam goreng dan aiskrim.
 
“ Diharapkan sumbangan ini akan menjadi lebih bermakna kepada anak-anak yatim dan semoga sambutan hari raya nanti akan lebih ceria," katanya ketika ditemui pada majlis Iftar Perdana bersama anak yatim pada 25 Julai di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin, Titi Serong.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa dalam ucapannya memberitahu Majlis Iftar Perdana ini adalah kemuncak bagi  program ehya’ Ramadhan yang merangkumi program sumbangan pengimarahan masjid dan surau,pesakit hospital, fakir miskin, murabitun dan guru Al-Quran serta iftar perdana bersama-sama anak yatim. 
 
“ Kemuncak program ehya’ Ramadhan di Parit Buntar adalah meraikan insan yang istimewa iaitu anak-anak yatim yang kita raikan pada hari ini.
 
 “Setiap kali Ramadhan, anak-anak yatim ini kami raikan bagi memberi sedikit kegembiraan mereka yang tidak bersama ayah atau ibu menyambut hari lebaran ” katanya
 
Dr Mujahid berkata, selama sebulan Ramadhan PAS Kawasan Parit Buntar bersama tiga wakil rakyat mengambil peluang melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan dalam bulan yang mulia dan penuh berkat.
 
“Gerak kerja mencari dana bagi program Ramadhan ini telah bermula sejak bulan Jun yang lalu.
“Setiap jawatankuasa PAS yang terdiri dari pimpinan PAS Kawasan, Pemuda, Muslimat, Urusan Ulama’ termasuklah Ahli Parlimen, Dr Mujahid Yusof Rawa, Adun Titi Serong Ustaz Abu Bakar Husain dan ADUN Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari diminta mencari dana bagi menjayakan program ini” katanya
 
Majlis tersebut telah dihadiri ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Husain , ADUN Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari, Bendahari Dewan Muslimat PAS Pusat Aida Yusuf, Yang Dipertua PAS Parit Buntar Harun Hashim dan Pengerusi Dana Infaq Ramadhan Abdul Bahrain Desa.
 
 Sekitar Majlis Iftar Perdana 












0 comments:

Post a Comment