Saturday, 10 May 2014
Prihatin jalan rosak di Sungai Labu
01:05
No comments
PARIT BUNTAR : Penduduk Kampung Sungai Labu, di sini menggesa pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah kenderaan berat milik pengusaha kolam udang dan ikan yang menjadikan jalan kampung di hadapan rumah mereka sebagai laluan keluar masuk sejak tiga tahun lalu.
Wakil penduduk, Mat Daud Saad, 74, berkata, akibat masalah itu, dinding kediamannya retak malah sebahagian besar perkakasan rumah rosak kerana gegaran dihasilkan kenderaan berat yang melalui kawasan berkenaan hampir 24 jam sehari.
“Tindakan pemandu lori muatan berat yang keluar masuk setiap hari mengakibatkan rumah saya sedikit terjejas.
“Selain itu, nyawa kami juga terancam kerana pemandu kenderaan berat ini seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan pengguna lain dengan memandu secara laju dan berbahaya,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.
Hadir meninjau masalah itu, Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain.
Mat Daud berkata, habuk dan bunyi bising mengganggu penduduk yang sudah 30 tahun menetap di kawasan berkenaan.
Jelasnya, kerosakan pada jalan kampung berkenaan mengundang bahaya kepada pengguna lain.
“Walaupun ada sebahagian jalan rosak dibaik pulih pengusaha, namun inisiatif penambahbaikan itu memakan masa sehingga menyusahkan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain ketika ditemui menyuarakan kekesalan dengan sikap pengusaha kolam udang yang tidak peka terhadap kebajikan penduduk.
Katanya, dia akan mengemukakan masalah itu kepada pihak berkuasa terlibat agar menemui jalan penyelesaian baik.
“Langkah terbaik adalah menyediakan satu laluan alternatif untuk kegunaan pengusaha kolam udang dan kolam ikan tanpa mengganggu jalan kampung.
“Terpulang kepada pihak berkuasa tempatan untuk mencari penyelesaian menang-menang melibatkan semua pihak,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment