Tuesday, 25 June 2013

Khidmat pakar mesti diwujudkan di hospital baru – Adun Titi Serong


PARIT BUNTAR : Kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk S Subramaniam mengenai Hospital Parit Buntar antara tiga hospital di Perak yang bakal disiapkan dalam tempoh empat ke lima tahun baru-baru ini, amat dialu-alukan PAS Kawasan Parit Buntar.
 
Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain menegaskan perkhidmatan pakar mesti diwujudkan di setiap hospital baru yang dibina, selaras dengan saranan Perdana Menteri yang menjanjikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
 
Adun Titi Serong itu berkata, pembinaan hospital baru di daerah Kerian amat dinantikan oleh seluruh rakyat daerah ini berikutan ianya sudah sekian lama dijanjikan kerajaan sejak tahun 2008 lagi.
 
Menurutnya, rakyat sudah lama menunggu janji kerajaan dan PAS bersyukur akhirnya janji itu dilaksanakan.
 
“ Kemudahan hospital baru ini amat penting dalam usaha kerajaan memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih efektif khususnya untuk masyarakat sekitar Parit Buntar.
 
“Namun begitu saya amat mengharapkan agar perkhidmatan pakar mesti diwujudkan di hospital baru ini selaras dengan saranan Perdana Menteri yang mengumumkan jumlah katil pesakit dinaikkan kepada 200 katil di hospital yang bakal dibina kelak” katanya 
 
Abu Bakar berkata, khidmat doktor pakar penting di Hospital Kerian memandangkan penduduk di daerah Kerian terpaksa dihantar ke Hospital Taiping atau pun Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan pakar.SH

0 comments:

Post a Comment