Friday, 1 August 2014

Sumbangan kepada masjid dan surau sempena Ramadhan


PARIT BUNTAR : Bersempena kedatangan Ramadan , sebanyak 28 masjid dan 120 surau di Parit Buntar menerima sumbangan Ihya’ Ramadan sebagai galakan untuk ahli jawatankuasanya menjalankan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau. 
 
Ahli Parlimen Parit Buntar, Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar, DUN Titi Serong dan DUN Kuala Kurau dengan kerjasama PAS Kawasan Parit Buntar telah menganjurkan majlis penyampaian sumbangan ini pada 27 Jun di Surau Taman Desa Indah, Titi Serong.
 
“ Sejumlah RM 18,000.00 diperuntukkan untuk sumbangan kepada masjid dan surau dalam kawasan parlimen Parit Buntar.
 
"Program seperti ini telah dijalankan setiap tahun hasil daripada sumbangan serta kerjasama daripada pelbagai pihak," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan tersebut.
 
Dr Mujahid berkata,  pada bulan Ramadan lebih ramai umat Islam berkunjung ke masjid untuk melaksanakan ibadat termasuk solat sunat terawikh. 
 
 
“ Bahkan di waktu malam suasana masjid dan surau begitu hidup.  Tambah-tambah lagi di kawasan perumahan dan di kampung-kampung. 

“ Justeru,  masjid perlu diimarahkan dengan aktiviti Ramadan agar dapat menarik lebih ramai lagi minat individu ke masjid “ katanya
 
Beliau meminta supaya pintu masjid dan surau dibuka seluas-luasnya agar umat Islam dapat melakukan ibadat di rumah Allah ini.

"Jadikan masjid dan surau sebagai pusat tumpuan ibadah sepanjang Ramadhan ini. Galakkan kaum keluarga seramai mungkin mengunjungi rumah Allah ini untuk berbuka puasa, solat tarawih, bertadarus, berzikir dan bermunajat kepada Allah SWT. 

"Jangan sempitkan ruang masjid hanya untuk bersolat sahaja sebaliknya banyak ibadah yang boleh dilakukan sepanjang Ramadhan ini." katanya
 
Turut hadir memberikan ucapan dan menyampaikan sumbangan adalah Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Harun Hashim , ADUN Titi Serong , Ustaz Abu Bakar Husain, dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infaq Ramadhan PAS Parit Buntar, Abdul Bahrain Desa berkata sumbangan untuk dana infaq Ramadhan PAS Parit Buntar ini masih dibuka kepada orang ramai.

0 comments:

Post a Comment