Friday, 1 August 2014

Adun Titi Serong dekati rakyat sepanjang Ramadhan


PARIT BUNTAR : Adun Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain semakin sibuk di bulan Ramadhan yang baru mencecah separuh bulan.
 
Setelah lebih setahun menjadi Adun Titi Serong, beliau tidak pernah melupakan masyarakat di kawasan yang diwakilinya. 
 
Menurut Pegawai Khas Adun Titi Serong Zainuddin Osman, aktiviti turun padang sepanjang bulan Ramadhan al-Mubarak adalah merupakan satu pendekatan terbaik kerana memberikan kesempatan kepada beliau untuk mendekati rakyat akar umbi apatah lagi bagi golongan yang memerlukan perhatian.
 
“ Setiap hari jadualnya dipenuhi dengan aktiviti turun padang menemui rakyat dalam pelbagai majlis sempena Ramadhan
 
 “ Bermula selepas sahur, Ustaz Abu Bakar akan menunaikan solat subuh dan menyampaikan kuliah subuh di masjid dan surau dalam Dun Titi Serong” katanya
 
Zainuddin berkata, Adun Titi Serong memperhebatkan program sepanjang bulan yang penuh keberkatan bagi mengerat tali silaturrahim sedia terjalin.
 
“ Beliau akan sedaya upaya memenuhi jemputan majlis berbuka puasa yang diadakan di masjid dan surau.
 
“ Untuk tidak mengecewakan pihak surau dan masjid, beliau ke majlis berbuka dan berterawih di surau dan masjid berbeza. Contohnya, hari ini beliau berbuka di Surau An Najah Simpang Empat Kedah dan berterawih di Surau Pak Ndak Haji Othman Parit Haji Wahab” katanya
 
Menurutnya, pada sebelah petang Adun Titi Serong akan menemui penduduk di Pasar Ramadhan yang diadakan di beberapa tempat dalam kawasan Parit Buntar
 
““Inilah tradisi kita di dalam parti PAS sebaik tibanya bulan Ramadan kerana aktiviti bertemu penduduk di pasar Ramadhan memberikan peluang untuk beliau beramah-mesra dengan penduduk.
 
“ Setiap kali turun ke pasar Ramadhan , Ustaz Abu Bakar akan menyampaikan buah tangan seperti takwim Ramadhan, risalah dakwah dan kurma” katanya
 
Katanya, Adun Titi Serong sangat menyokong usaha murni PAS Cawangan yang mengambil inisiatif menganjurkan program kebajikan melibatkan masyarakat awam.
 
“ Beliau turut bersama PAS Cawangan Kampung Kedah mengedarkan bubur lambuk percuma kepada pengguna jalan Dataran Purnama , Kampung Kedah.
 
“Di bulan mulia ini sudah pasti aktiviti kebajikan ini memberikan ganjaran pahala disamping saling memperkukuhkan hubungan yang harmoni “ katanya
 
Beliau berkata, Adun Titi Serong bersama Ahli Parlimen Parit Buntar dan Adun Kuala Kurau turut berkerjasama mencari dana bagi menjayakan program ehya Ramadhan yang melibatkan sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim, pesakit hospital, masjid dan surau.
 
 “ Sehari sebelum Ramadhan telah disampaikan sumbangan kepada 28 masjid dan 120 surau dalam kawasan Parit Buntar bagi tujuan menjalankan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau.
 
“ Sumbangan kurma juga telah diberikan kepada orang ramai melalui edaran di stesen minyak dalam kawasan Parit Buntar” katanya
 
Tambahnya, jadual Adun Titi Serong untuk separuh bulan terakhir Ramadhan sudah dipenuhi pelbagai aktiviti bersama penduduk.
 
“ Majlis sumbangan kepada fakir miskin, iftar bersama anak yatim, ziarah pesakit hospital , sambutan Badar al Kubra adalah antara program besar yang sudah diatur.
 
  Di samping program rutin ke majlis berbuka puasa, bertarawih dan tazkirah yang mengukuhkan ukhuwah bersama penduduk” katanya
 
Pada Ramadhan penuh keberkatan ini Adun Titi Serong memanfaatkannya dengan mengukuhkan silaturrahim dengan penduduk diwakilinya, di samping menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. 
 

0 comments:

Post a Comment