Monday, 7 October 2013

ADUN Titi Serong rai 100 peserta tadarus di majlis Khatam Al-Quran

PARIT BUNTAR  : Lebih 100 peserta tadarus Al-Quran anjuran Halwa Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Kurau menyertai Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan pada 19 Ogos 2013 di Markas PAS MTD Kuala Kurau , Batu 13 di sini. 
Perasmian majlis penutup Khatam Al-Quran disempurnakan Pesuruhjaya PAS Perak yang juga ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain. 

Pengarah Halwa MTD Kuala Kurau , Norijan Omar berkata, program tadarus Al-Quran ini telah diadakan dalam bulan Ramadhan dengan diketuai Ustazah Azizah Haji Awang. 

“ Program tadarus pada tahun ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari kaum wanita dalam DUN Kuala Kurau ini. 

“ Majlis Khatam Al-Quran pada hari ini adalah kemuncak kepada program tadarus yang kita adakan pada bulan Ramadhan yang lalu” katanya 
Sementara itu, Ustaz Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada Halwa MTD Kuala Kurau kerana berjaya menganjurkan program tadarus Al-Quran dan mendapat sambutan baik dari kaum wanita.

“Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan Rasulullah S.A.W dalam bulan Ramadhan.

“ Amalan tadarus ini amat baik bagi mempertingkatkan mutu dan ketepatan bacaan masing-masing.

Beliau berharap amalan tadarus Al-Quran tidak terhenti hanya di bulan Ramadhan sebaliknya diteruskan dalam bulan – bulan lain.

“ Amalan tadarus yang dilakukan dalam bulan Ramadhan hendaklah diteruskan di luar Ramadan walaupun Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita. 

“ Begitu juga amalan lain seperti berpuasa, sembahyang berjemaah , sembahyang tahajjud dan witir “ katanya

Majlis penyampaian cenderamata kepada peserta tadarus telah disempurnakan oleh Hajah Norain Omar isteri kepada ADUN Titi Serong.

Hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah MTD Kuala Kurau Abdul Bahrain Desa dan Pengerusi Badan Kebajikan Kuala Kurau Haji Muhammad Abdullah.
 
Sekitar program Majlis Khatam Al-Quran

0 comments:

Post a Comment