Friday, 19 July 2013
Adun Titi Serong kesal pemaju tindas pembeli
08:58
No comments
PARIT BUNTAR : Tindakan sebuah syarikat pemaju perumahan menaikkan harga sebanyak 16 peratus bagi setiap lot rumah berbanding harga asal yang ditawarkan enam tahun lalu menyebabkan tiga pembeli tidak puas hati.
Wakil pembeli, Tee Ren Lun, 27 memaklumkan, dia bersama beberapa pembeli lain menempah rumah teres dua setengah tingkat di Taman Kerian Permai pada 2006 lalu melalui sebuah syarikat pemaju lain yang bertindak sebagai orang tegah.
Menurutnya, harga asal yang ditawarkan untuk rumah yang dibelinya adalah RM338,010 dan dia telah membayar deposit sebanyak RM3,000 tetapi tidak dimaklumkan oleh wakil pemaju berkenaan tempoh rumah siap dibina.
"Baru-baru ini kami terima panggilan telefon daripada peguam yang mewakili pemaju memaklumkan harga rumah telah dinaikkan kepada RM380,000. Alasannya, pemaju terpaksa tanggung kos pembinaan yang semakin meningkat.
"Kami diberi tempoh untuk berfikir selama seminggu dari tempoh panggilan berkenaan dan dimaklumkan unit rumah yang ditempah akan ditawarkan kepada pembeli lain sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh berkenaan," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar, di sini, semalam.
Hadir sama pada sidang media berkenaan adalah Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussin.
Ree Lun berkata, dia serta pembeli lain kesal dengan sikap pemaju perumahan terbabit yang dilihat seolah-olah cuba menipu pembeli dengan menaikkan harga rumah pada kadar terlalu tinggi.
Dia memaklumkan bahawa kebanyakan pembeli yang telah membayar deposit sebelum ini tidak diberikan resit pembayaran dengan pelbagai alasan.
"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pembeli mengenai pemaju perumahan terbabit mungkin cuba mengelak dari mengembalikan wang deposit sekiranya pembeli tidak setuju dengan harga baru yang ditawarkan.
"Kami langsung tak sangka perkara begini boleh terjadi kerana yakin dengan ketelusan pemaju. Kerana itu kami gesa pemaju lebih prihatin dengan rintihan hati pembeli dan kekalkan harga asal rumah terbabit," katanya.
Tambahnya, laporan serta aduan telah dikemukakan kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah serta wakil rakyat bagi memastikan tindakan susulan diambil ke atas pemaju terbabit.
Sementara itu, Abu Bakar kesal dengan sikap pemaju terbabit yang dilihat seperti cuba menindas pembeli.
Katanya, keadaan yang dialami pembeli-pembeli rumah itu menunjukkan pemaju seolah-olah tamak dan cuba mengetepikan hak pembeli.
"Dari segi moral, kes ini cukup menjengkelkan. Saya gesa tindakan keras diambil ke atas pemaju termasuk menarik balik lesen kontraktornya serta-merta sekiranya mereka gagal mengekalkan harga asal yang ditawarkan kepada pembeli," tegas beliau.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment