This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Saturday, 25 January 2014

ADUN Titi Serong sumbang bola kepada anak muda


PARIT BUNTAR : "Kita memang digalakkan bersukan untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan fikiran, bagaimanapun kita juga mestilah mempastikan bersukan jangan sampai mengetepikan peraturan Allah .
 
“ Misalnya, sebelum turun bermain bola kena solat Asar terlebih dahulu dan jangan leka bermain hingga terlajak waktu Maghrib," demikian
ingatan yang diberikan oleh ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain kepada pemuda - pemuda dalam satu majlis ringkas di Parit Tok Ngah Tengah pada petang 19 Januari lalu.
 
ingatan yang diberikan oleh ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain kepada pemuda - pemuda dalam satu majlis ringkas di Parit Tok Ngah Tengah pada petang 19 Januari lalu.
 
Pada majlis yang diadakan itu, Ustaz Abu Bakar telah menyampaikan sumbangan bola sepak dan bola futsal kepada pemuda-pemuda di situ.

Ustaz Abu Bakar memuji pemuda – pemuda di kampung berkenaan yang aktif bersukan walaupun tidak mempunyai kemudahan padang dan gelangang yang sempurna.
 
“ Mereka menjadikan bendang sebagai padang bolasepak kerana tidak mempunyai kawasan padang.
 
“ Kadang-kadang mereka akan bermain futsal di taman berdekatan kerana tiada kemudahan gelangang futsal di kampung berkenaan” katanya

ADUN Titi Serong itu juga memberi kata semangat dan motivasi berupa nasihat kepada pemuda-pemuda yang hadir pada majlis berkenaan.
 
“ Selain mempunyai tubuh badan yang sihat bertenaga , anak muda juga memiliki semangat, kesungguhan mendapatkan sesuatu, serta daya responsif yang optimum.
 
“ Justeru, anak muda perlu menggunakan kelebihan yang ada untuk memajukan diri agar berjaya dalam hidup” katanya
 
Sementara itu, Ketua PAS Cawangan Parit Tok Ngah Tengah Harmain Abdul mengucapkan terima kasih kepada ADUN Titi Serong kerana memberi sumbangan bola kepada pemuda-pemuda di situ.
“ Beliau begitu memahami kehendak anak muda , bermain bersama mereka, dalam masa yang sama memberi nasihat yang berguna.
 
 “ Apabila anak muda di sini menghabiskan waktu petang mereka dengan bermain bola, aktiviti tidak sihat juga berjaya dibendung” katanya
 
Sekitar program Ustaz Abu Bakar bersama anak muda 
 

Pusat Khidmat Parlimen , DUN Titi Serong lancar e - Aduan


PARIT BUNTAR :  Satu majlis ringkas pelancaran e-Aduan telah diadakan pada 20 Januari di hadapan Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong bagi melancarkan wajah baru pusat setempat ini.
 
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan bahawa Pusat Khidmat Parit Buntar dan DUN Titi Serong mahu menjadi yang terbaik dalam khidmatnya pada rakyat.
 
“Setelah 6 tahun memberikan khidmat kepada masyarakat setempat, pusat khidmat ini memerlukan penjenamaan semula melalui imej dan kualiti khidmat.
 
“ Pada majlis ini dua pendekatan baru diperkenalkan iaitu budaya kerja pantas menyelesaikan masalah melalui kaedah proses yang lebih efisyen dan penggunaan sistem e-Aduan yang mesra pengguna. ,” ujar beliau yang kini sudah dua penggal diberi kepercayaan sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi parlimen Parit Buntar.

Menurutnya, e-Aduan adalah proses aduan melalui talian di mana pendaftaran pengadu dapat diproseskan dan dimaklumkan statusnya samada melalui email atau diposkan. 
 
“ Pihak admin pula dapat memantau semua aduan dan dapat mengesani di tahap manakah masalah untuk dimaklumkan pada pengadu. 
 
“ Sistem ini juga membantu pengadu membuat pemeriksaan status daftar pemilihnya” katanya
 
Turut hadir ialah ADUN Titi Serong, Ustaz Abu Bakar Hussain dan Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Tuan Haji Harun Hashim dan tetamu lain. 
 
Sementara itu, Ustaz Abu Bakar Hussain melahirkan harapan supaya wajah baru ini dapat memberikan impak lebih berkesan kepada interaksi pusat khidmat dengan aduan yang diterima.
 
Majlis berakhir dengan sedikit jamuan makan tengahari bersama para tetamu sambil Ketua Staf Pusat Khidmat Parit Buntar, Hairulnizam Ishak menunjukkan cara e-Aduan dikendalikan.

Wednesday, 22 January 2014

ADUN Titi Serong santuni penternak kerang Kuala Bagan Tiang

PARIT BUNTAR : ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain terus aktif melakukan aktiviti menyantuni penduduk dalam DUN Titi Serong. 
 
Terkini, ADUN berkenaan menyelami kehidupan dan kesusahan penternak kerang di Kuala Bagan Tiang dengan menyertai mereka ke tapak penternakan kerang pada 14 Januari lepas. 
 
Pembantu Khas ADUN Titi Serong Zainudin Osman berkata, lawatan ini merupakan siri lawatan ADUN Titi Serong menyantuni penduduk dalam Dun Titi Serong. 
 
“ Lawatan kali ini dilakukan ke tapak penternakan kerang yang diusahakan oleh orang Melayu. 
 
“ Sebenarnya di sini, orang Melayu juga mempunyai kemampuan mengusahakan penternakan kerang “ katanya 
 
Menurutnya, ADUN Titi Serong bersama penternak kerang dan beberapa orang penduduk tempatan bertolak dengan sebuah bot dari Kuala Bagan Tiang ke tapak penternakan kerang. 
 
“ Apabila sampai di Pondok Penternak Kerang , ADUN Titi Serong dan penternak kerang melakukan solat hajat berjamaah.
 
“ Ustaz Abu Bakar juga diberi kesempatan menyampaikan tazkirah Maulidur Rasul , seterusnya  mengadakan perbincangan dua hala dengan penternak kerang” katanya
 
Turut menyertai lawatan ini ialah Yang Dipertua PAS Parit Buntar, Haji Harun Hashim.
 
Sementara itu, ADUN Titi Serong yang ditemui memberitahu, lawatan ini memberi peluang kepadanya melihat sendiri cara penternakan dan pengusahaan tapak penternakan kerang. 
 
“ Melalui lawatan ini saya mendapat lebih maklumat berkenaan penternakan kerang yang diusahakan nelayan 
 
“ Disamping itu, saya menasihatkan penternak ini berusaha memajukan industri ternakan kerang supaya dapat menambah pendapatan keluarga “ katanya

Monday, 20 January 2014

ADUN Titi Serong , PAS Cawangan salur bantuan kepada mangsa ribut aneh


PARIT BUNTAR  : Satu kejadian ribut aneh melanda beberapa rumah di Taman Kerian, di sini dan menyebabkan lima rumah mengalami kerosakan bumbung dalam kejadian jam 12.35 tengah hari kelmarin.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadel Ahmad berkata, kejadian ribut tersebut dianggap aneh kerana berlaku secara tiba-tiba tanpa kehadiran angin kencang malah cuaca ketika itu panas.

Menurutnya, kejadian ribut seperti itu pernah berlaku pada April dan Oktober 2012 dan tahun lalu serta pernah dilaporkan Sinar Harian sebelum ini.

“Berdasarkan apa diberitahu mangsa, kami dimaklumkan kejadian ribut seakan-akan puting beliung itu berlaku tidak sampai lima minit dan menyebabkan kerosakan teruk pada bumbung rumah mereka.
 
“Saya tidak menolak kemungkinan punca kejadian ribut berlaku di taman ini disebabkan faktor geografi perumahan yang menjadi laluan angin lintang,” katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian semalam.

Lima rumah kena ribut aneh Beliau yang ditemani Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain turut menyampaikan bantuan kecemasan kepada mangsa terlibat.

Hamdan Fadel berkata, disebabkan ribut sering berlaku di kawasan tersebut, pihak bertanggungjawab digesa mencari kaedah untuk  mengawal pergerakan angin lintang di situ bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, fenomena angin lintang sering terjadi di taman itu berikutan kekurangan pokok penahan yang berfungsi menahannya daripada melalui kawasan perumahan terlibat.

“Berikutan kejadian itu, saya menasihatkan semua mangsa ribut supaya membuat laporan polis bagi memudahkan agensi kerajaan terlibat menyalurkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, terdapat dua rumah penduduk terlibat yang dikenal pasti mengalami kerosakan teruk.

Menurutnya, agensi kerajaan terlibat perlu bertindak pantas memberikan bantuan kecemasan apabila menerima aduan mangsa ribut.

“Mangsa ribut perlu memberikan maklumat segera kepada agensi kerajaan terlibat dan memohon bantuan mengikut prosedur ditetapkan agensi kerajaan terbabit.

Sementara itu, agensi kerajaan terlibat pula perlu segera memberi bantuan bagi kerja-kerja baik pulih bumbung bagi mengelakkan rumah mangsa dimasuki air jika hujan,” katanya.

Abu Bakar berkata, bagi meringankan penderitaan mangsa ribut, pihaknya dan Pas cawangan Taman Kerian menyalurkan bantuan kewangan hasil kutipan derma kilat dianjurkan sebelum ini.

“Saya turut bersyukur kejadian ribut aneh yang kerap berlaku di Taman Kerian, hanya merosakkan lima rumah penduduk berbanding lebih 20 buah rumah pada Oktober 2012,” katanya.SH

ADUN Titi Serong buat lawatan hari pertama persekolahan


PARIT BUNTAR  : Empat buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dalam DUN Titi Serong telah menerima lawatan muhibbah hari pertama persekolahan oleh ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain dan isteri Nor’ain Omar. 
 
Lawatan ini bertujuan meninjau persiapan Pasti menerima kehadiran pelajar baru dan memberi sokongan kepada guru-guru Pasti selaku tenaga penting di Pasti

“ Saya sempat membuat lawatan di hari pertama persekolahan ke empat buah Pasti dari tujuh buah Pasti yang ada dalam DUN Titi Serong.
 
 “ Tiga buah Pasti lagi akan saya lawati pada hari kedua” Kata Ustaz Abu Bakar yang ditemui semasa mengadakan lawatan ke Pasti An-Nur , Taman Kerian Permai.
 
ADUN Titi Serong itu juga mengambil peluang bermesra dengan ibu bapa yang hadir mendaftar anak-anak mereka yang berumur lima dan enam tahun di Pasti. 
 
“ Ibu bapa yang menghantar anak belajar di Pasti kerana mahu pendidikan asas Islam diajar kepada anak-anak mereka.
 
“ Saya berharap ibu bapa turut sama memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan program pembangunan iman serta insan yang dilaksanakan di Pasti” katanya

Kehadiran ADUN Titi Serong itu menceriakan lagi pelajar Pasti apabila Adun berkenaan memberi ole-ole sekotak minuman milo kepada setiap pelajar Pasti.

“ Hari ini, saya perhatikan pelajar Pasti sangat ceria walaupun ada juga yang nampak muram untuk menghadapi suasana yang berbeza.
 
 “ Semoga anak-anak ini akan mendapat pendidikan terbaik di Pasti “katanya

Petani tertekan, naikkan harga padi - Ustaz Abu Bakar


PARIT BUNTAR : Pengusaha padi di kawasan Kerian semakin menzahirkan rungutan mereka berikutan kenaikan kos aktiviti persawahan yang semakin tinggi. 
 
Kenaikan harga bahan api serta input pertanian seperti racun dan baja telah meletakkan petani sawah semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
 
ADUN Titi Serong ,Ustaz Abu Bakar Bin Hussain semasa melakukan tinjauan dan berdialog bersama pesawah mengakui keadaan itu. 

“ Kesan peningkatan kos pengeluaran yang meningkat ini telah memberi kesan yang besar kepada keluarga tani yang mengusahakan sawah di bawah 3 hektar. 

“ Ini ditambah pula dengan kebanyakan petani yang majoritinya melebihi umur 50 tahun ini bergantung sepenuhnya kepada pendapatan melalui kerja sawah” katanya
 
Ustaz Abu Bakar berkata, rungutan ini membimbangkan kerana ia berkaitan dengan pengusaha yang terlibat di dalam menghasilkan tanaman keselamatan negara. 
 
“ Saya mendesak kerajaan memberi perhatian serius dalam isu peningkatan kos pengeluaran persawahan ini.
 
“ Kerajaan sepatutnya menaikkan segera harga padi dari RM1070 sekarang kepada  RM1350/ tan” tegasnya
 
Beliau juga meminta kerajaan menaikkan pemberian subsidi jualan padi yang masih tidak dinaikkan sejak hampir 30 tahun. 

“ Saya juga mendapat makluman dari petani yang mahu Kementerian Pertanian Asas Tani menilai kembali pemberian insentif input seperti racun dan baja foliar supaya ianya benar-benar mampu meningkatkan hasil padi serta sesuai dengan persekitaran tanaman padi di Kerian.
 
“ Mereka mencadangkan pemberian insentif input seperti racun dan baja foliar ditukar kepada penambahan subsidi jualan padi dan menaikkan harga padi” katanya
 
Tambahnya, ini mememberi ruang kepada petani untuk memilih sendiri input yang digunakan sesuai dengan keperluan tanaman padi di sawah mereka.
 
ADUN Titi Serong itu ditemui semasa meninjau hasil padi pesawah di Kedai Empat pada 27 Disember lalu.
 
Sementara itu, Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Tiang, Zulkhefly Asmawi, 54, berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah petani sawah. 

“ Petani sangat tertekan dengan kenaikan input pertanian seperti baja dan racun sedangkan harga padi tidak naik, ditambah pula dengan kenaikan harga barang.
 
“ Padi adalah tanaman keselamatan, jika petani berdepan dengan masalah, maka industri tanaman padi ini juga akan menghadapi masalah” katanya

Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar , DUN Titi Serong anjur program ' Back To School '


PARIT BUNTAR  :  Kira-kira 135 pelajar sekolah menerima pakaian seragam sekolah dalam program ' Back To School ' anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Dun Titi Serong dengan kerjasama Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar di Pasar raya Hari-Hari Parit Buntar. 
 

Kesemua pelajar pelbagai kaum berkenaan terdiri daripada anak-anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan dari seluruh Parit Buntar.

Setiausaha Lujnah Kebajikan PAS Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, program  itu bertujuan memberi semangat dan menceriakan pelajar terbabit sebelum memulakan sesi persekolahan 2014.
 

“ Selama tiga hari iaitu pada 25, 26 dan 28 Disember telah diambil bagi memudahkan dan memberi keselesaan kepada pelajar memilih sendiri pakaian seragam sekolah termasuk kasut dan beg.
“ Kami mahu pelajar-pelajar ini merasai sendiri keseronokan membuat persiapan persekolahan” katanya 
 
Adnan berkata,  kenaikan harga barang ditambah lagi dengan kemiskinan keluarga membuatkan pihaknya mengambil inisiatif membantu pelajar terbabit untuk meringankan beban keluarga mereka
 
“Kita membantu ibu-bapa yang kurang berkemampuan bagi penyediaan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka sebagai salah satu khidmat masyarakat sejak bertahun lalu. 
 
“Ini bagi membolehkan anak-anak mereka tidak merasa terpinggir akibat kekurangan kelengkapan persekolahan sepertimana kanak-kanak lain apabila mula bersekolah kelak,” katanya
 

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Dato’ Sr Mujahid Yusuf Rawa, ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain serta pimpinan PAS Parit Buntar telah meluangkan masa menyantuni pelajar-pelajar ini memilih pakaian sekolah .
 
Dato Dr Mujahid yang ditemui berkata, anak-anak merupakan harta yang paling bernilai buat keluarga dan untuk menjaganya, ibu bapa dan penjaga perlu memastikan anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna sepanjang masa.
 
“Tetapi sekiranya proses pendidikan itu tidak dapat berjalan lancar akibat kekurangan kelengkapan persekolahan, bagaimana murid terbabit boleh belajar dengan sempurna dan memperoleh keputusan cemerlang.
 

“ Bagi pelajar yang kurang berkemampuan, kemiskinan dan kekurangan keluarga bukan halangan untuk mencapai kejayaan pada masa depan kerana semua pihak sentiasa memberi sokongan kepada mereka” katanya
 

Manakala,  Ust. Abu Bakar Hussain pula berharap sumbangan ini akan menyuntik semangat kepada pelajar untuk belajar dan berjaya 


 " Apa yang ingin kami berikan sebenarnya bukan sekadar pakaian serta barang kelengkapan persekolahan tetapi kasih sayang kepada anak yatim.

“ Kami akan menemani mereka untuk membeli dan memilih pakaian yang bersesuaian agar mereka dapat merasai sendiri bagaimana rakan-rakan mereka yang lain saban tahun ditemani oleh ayah atau ibu tersayang bagi membeli barangan keperluan sekolah” katanya

ADUN Titi Serong ketuai misi bantuan banjir


PARIT BUNTAR : PAS Kawasan Parit Buntar turut mengerakkan misi membantu mangsa banjir di Kuantan dan Kemaman yang disifatkan paling buruk dalam sejarah kedua bandar itu. 
 
Seramai tujuh anggota Unit Amal Parit Buntar terlibat dalam misi berkenaan bagi menjalankan operasi membersih rumah mangsa banjir.
 
Penyelaras Jabatan Amal Parit Buntar, Zainuddin Osman berkata, misi berkenaan diketuai ADUN Titi Serong ,Ustaz Abu Bakar Hussain telah bergerak ke Kuantan dan Kemaman membawa barangan dan wang tunai yang disumbang oleh orang ramai di Parit Buntar.
 
“Rombongan kami bergerak pada 16 Disember ke Kuantan untuk menyampaikan bantuan, seterusnya pada 17 Disember bergerak ke Kemaman
 
“ Selain menyampaikan sumbangan di Kemaman, kami bergabung dengan Unit Amal yang datang dari seluruh Malaysia membersihkan rumah mangsa banjir di sana” katanya
 
Menurutnya, Unit Amal Parit Buntar membawa dua unit mesin pam penyembur air (water jet) bagi memudahkan usaha membersih lumpur dari rumah mangsa banjir.
 
“ Selama dua hari berada di Kemaman, beberapa buah rumah telah dibersihkan di Taman Haji Wan Ngah dan Banggol Kiri .
 
“ Kami mendapat kerjasama yang baik dari Jabatan Amal Kawasan Kemaman dan penduduk tempatan yang terlibat” katanya
 
Sementara itu, ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussain mengucapkan terima kasih kepada orang ramai di Parit Buntar yang memberi sumbangan dalam bentuk barangan dan wang tunai kepada mangsa banjir di Kuantan dan Kemaman
 
“ DHPP Parit Buntar sahaja berjaya mengutip sejumlah RM 2000.00 dalam majlis makan malam yang mereka anjurkan.
“ Ramai lagi penyumbang lain yang bersimpati dengan nasib mangsa banjir telah menyampaikan sumbangan melalui PAS Kawasan Parit Buntar “ katanya
 
Ustaz Abu Bakar berkata, misi bantuan pertama PAS Kawasan Parit Buntar sebenarnya telah disampaikan melalui rombongan yang diketuai Ahli Parlimen Parit Buntar Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa.
 
“ Selepas rombongan Dr Mujahid pulang, kami pula bergerak ke Kuantan dan Kemaman bagi menyatakan simpati PAS Kawasan Parit Buntar dengan nasib yang menimpa mangsa-mangsa di kawasan tersebut walaupun dipisahkan dengan sempadan negeri berbeza.

“Harapan saya agar misi kami melalui sumbangan barangan, wang tunai dan bantuan membersihkan rumah sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di kedua-dua lokasi ini” katanya 

 
Turut serta bersama misi bantuan banjir PAS Kawasan Parit Buntar ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar Haji Harun Hashim.
 
Sekitar misi bantuan ke Pantai Timur 
 
 
 

Saturday, 18 January 2014

6 bulan dilepasi, Ustaz Abu Bakar disenangi warga Titi Serong


PARIT BUNTAR :  RENCANA - Ustaz Abu Bakar Hussain sudah hampir tujuh bulan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong. 
 

Beliau berhadapan dengan jadual yang ketat menghadiri beberapa kali sidang DUN, memenuhi tuntutan parti sebagai Pesuruhjaya PAS Perak bergerak ke seluruh Perak bagi melaksanakan amanah memperkasakan PAS Perak. 
 

Keputusan PAS Pusat tidak melantik beliau sebagai sebagai Pesuruhjaya PAS Perak bagi sesi 2013-2015 memberi kelegaan dan ruang masa yang lebih kepada beliau mendampingi rakyat dalam DUN Titi Serong.
 

Dalam kesibukan sebelum ini, beliau tidak sesekali melupakan tanggungjawabnya kepada rakyat yang diwakilinya. 

Selama enam bulan pertama ini, disamping cuba menyelesaikan permasalahan rakyat yang ke pejabatnya. Ustaz Abu Bakar bersama pembantunya telah melaksanakan program-program kebajikan kepada rakyat selaras dengan manifesto Negara Berkebajikan. 
 
ADUN Titi Serong juga tidak hanya menunggu di pejabat untuk mendengar masalah rakyat. Beliau akan turun sendiri setiap kali mendengar masalah yang dihadapi oleh penduduk dalam DUN yang diwakilinya. 


Misalnya, pada 10 Disember lepas, apabila mengetahui berita kehilangan seorang penduduk di Parit Tok Ngah beliau terus mengunjungi rumah penduduk berkenaan bagi mendengar sendiri berita kehilangan ini dari keluarga penduduk terbabit.
 

Sungguhpun dinafikan peruntukan oleh kerajaan pusat yang diterajui BN, beliau tetap berjaya meneruskan agenda kebajikannya di Parit Buntar. Antara program kebajikan yang berjaya dilaksanakan ialah bantuan kepada golongan kurang berkemampuan, bantuan kesihatan kepada Orang Kurang Upaya, bantuan kepada ibu tunggal dan anak-anak yatim serta bantuan bencana.


Misalnya, pada 2 Disember lepas, beliau meluangkan masa menziarahi dan memberi bantuan kepada mangsa sebuah rumah terbakar di Sungai Betul. ADUN Titi Serong turut mengambil kesempatan untuk menziarahi beberapa rumah penduduk kampung yang sakit dan uzur di Sungai Betul.
 

Walaupun bantuan yang disumbangkan kecil, namun mampu membantu meringan kesusahan penerima sumbangan ini. Elaun sebagai ADUN sebenarnya tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan membayar elaun pembantu-pembantu dan permohonan sumbangan yang tidak henti-henti datang ke pejabatnya. 


Justeru, sebelum Ramadhan tahun ini beliau dan Ahli Parlimen Parit Buntar Dato’ Dr. Mujahid Yusuf Rawa sanggup turun ke beberapa masjid dan surau bagi melancarkan dana Ramadhan bagi membantu golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal dan anak-anak yatim semasa bulan Ramadhan. 


Hasil usaha mengumpul dana ADUN Titi Serong bersama Ahli Parlimen Parit Buntar dan PAS Kawasan Parit Buntar, hampir RM 90 ribu dana telah dikumpul dan disumbangkan kepada golongan yang memerlukan pada Ramadhan yang lepas.
 

Sebagai seorang yang berkelulusan agama, menjadi tanggungjawab kepada beliau untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam di Parit Buntar. 


Justeru, beliau telah menjelajahi hampir semua masjid dan surau dalam DUN Titi Serong. Disamping menjalinkan hubungan mesra dengan jamaah masjid dan surau, beliau turut mengajar ilmu-ilmu agama melalui kuliah yang disampaikan.
 

Setiap malam jika berada di Parit Buntar, Ustaz Abu Bakar akan solat berjamaah di masjid dan surau di Parit Buntar terutama solat waktu Maghrib, Isyak dan Subuh.
 

Perwatakan Ustaz Abu Bakar yang alim dan warak menjadikan beliau dihormati dan sentiasa diminta memimpin majlis-majlis agama seperti menjadi imam, memimpin bacaan doa dan tahlil serta mendapat penghormatan mentahnik bayi dan menyembelih lembu korban. 


Hubungan rapat Ustaz Abu Bakar dengan DHPP Parit Buntar telah membantu beliau mendekati dan memahami kehendak masyarakat bukan Melayu di Parit Buntar. Sebelum perayaan Deepavali tahun ini, Ustaz Abu Bakar  telah menziarahi 50 rumah penduduk India yang susah untuk menyampaikan sumbangan.
 

Beliau turut memberi sokongan dan motivasi kepada DHPP Parit Buntar untuk bergerak sendiri mengadakan program. Pengerusi DHPP Parit Buntar , Ricky Tan mengakui Ustaz Abu Bakar banyak memberi sokongan kepada DHPP Parit Buntar termasuk semasa DHPP Parit Buntar menganjurkan program Makan Malam Perpaduan pada 10 Disember lepas.
 

Seperkara yang perlu diketahui, keberadaan Ustaz Abu Bakar dalam Sidang DUN Perak telah dimanfaatkan sebaiknya terutama dalam sesi perbahasan. Antara perkara yang disentuh dalam perbahasan dan soalan oleh ADUN Titi Serong serta mendapat perhatian Kerajaan Negeri adalah mengenai tuntutan elaun tambahan kepada guru Kafa dan pemberian elaun kepada guru Kafa yang cuti bersalin.
 

Semasa menjawab soalan ADUN Titi Serong , Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Nizar Zakaria menyatakan Guru Kafa menerima elaun sebanyak RM800 sebulan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kerajaan negeri akan memberi elaun tambahan kepada guru Kafa sebanyak RM200.

Exco Perak itu juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memberi elaun sebanyak RM200 kepada guru Kafa wanita yang cuti bersalin selama dua bulan .
 

Selama enam bulan ini kerjasama Ustaz Abu Bakar dengan PAS Kawasan Parit Buntar amat baik terutama Lujnah Kebajikan dan DHPP Parit Buntar yang sentiasa membantu dan memberi kerjasama. Tambahan pula tiga orang pembantunya adalah dikalangan AJK PAS Kawasan dan Dewan Pemuda.
 

ADUN Titi Serong ini juga sentiasa cuba menjalinkan kerjasama yang baik dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan. Banyak juga masalah rakyat yang diadukan melalui Pusat Khidmat DUN Titi Serong telah diselesaikan jabatan dan agensi terbabit.
 

Penduduk di DUN Titi Serong diharap dapat memahami kesibukan Ustaz Abu Bakar sehingga menyebabkan beliau tidak dapat memenuhi semua jemputan kenduri kahwin dan menziarahi kematian yang berlaku di Parit Buntar. 


Beliau tidak akan menghampakan jemputan ini jika berada di Parit Buntar. Namun jika jemputan atau kematian ini berlaku semasa beliau berada di luar Parit Buntar contohnya menghadiri sidang DUN, pembantunya akan pergi mewakili beliau. 


Selepas tidak memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar pasti akan menggunakan banyak masa untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah rakyat. 


Beliau juga akan mempunyai mempunyai banyak masa memenuhi jemputan penduduk menghadiri jenduri kahwin, majlis keraian dan menziarahi kematian. 

Menjelang Januari sesi persekolahan, Ustaz Abu Bakar ada tanggungjawab yang menanti. Dana untuk bantuan persekolahan kepada pelajar yang miskin dan anak yatim perlu dicari. Semoga ADUN Titi Serong ini terus berbakti kepada pengundi yang diwakili.
 
Sekitar khidmat Ustaz Abu Bakar Hussain di DUN Titi Serong
 
Ust. Abu Bakar serius mendengar masalah rakyat
Ust. Abu Bakar menyampaikan Kuliah Dhuha di rumah seorang penduduk di Batu 4 Jalan Sempadan
Ust. Abu Bakar antara terawal ke lokasi kebakaran kilang di Sungai Labu
Ust. Abu Bakar menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit di Parit Haji Awi
Ust. Abu Bakar menyampaikan sumbangan kerusi roda di Parit Tok Ngah
Ust. Abu Bakar menyumbang bola raga kepada pemuda di Parit Tok Ngah
Ust. Abu Bakar sedang menyampaikan sumbangan kepada masjid sempena Ramadhan
Ust. Abu Bakar sedang menyampaikan sumbangan kepada anak yatim sempena Ramadhan
Ust. Abu Bakar mengacau bubur Asyura bersama penduduk
Ust. Abu Bakar merasmikan program Sunaton dalam DUN Titi Serong
Ust Abu Bakar semasa menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan anjuran DHPP Parit Buntar
Ust. Abu Bakar sedang mentahnik seorang bayi di Sungai Labu
Ust. Abu Bakar memimpin majlis tahlil di rumah seorang penduduk di Parit Haji Tahir
Ust Abu Bakar sedang menyembelih seekor lembu korban